Ekonomi Malaysia terbaik di rantau Asia Tenggara

Kerajaan percaya dasar fiskal yang dilaksanakan susulan krisis akibat pandemik COVID-19 merupakan satu respons yang tepat.

S&P Global Ratings menaikkan penarafan ekonomi Malaysia kepada yang terbaik di Asia Tenggara, kata Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Antara faktor yang menyumbang kepada kejayaan ini adalah kerana negara kita merupakan antara negara yang berjaya membanteras wabak Covid-19 dengan efektif di rantau Asia Tenggara.

Kemerosotan ekonomi akibat Covid-19 yang dialami Malaysia adalah paling kecil dibandingkan dengan negara-negara lain juga kerana langkah drastik dan proaktif yang diambil pihak kerajaan.

Beliau berkata ia disebabkan langkah rangsangan dan pemulihan ekonomi yang dilakukan dengan segera untuk melindungi rakyat, menyokong perniagaan dan memperkukuh ekonomi.

International Monetary Fund atau IMF juga mengunjurkan ekonomi Malaysia akan berkembang lebih pantas berbanding negara ASEAN lain iaitu Indonesia, Thailand, Filipina dan Vietnam yang masing-masing diunjur berkembang kepada 8.2 peratus, 6.1 peratus, 7.6 peratus dan 7.0 peratus.

“Langkah ini disokong oleh laporan S&P yang optimis mengunjurkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia pada 7.5 peratus bagi 2021,” katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.

Tengku Zafrul berkata inisiatif dan langkah menerusi Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN), PRIHATIN Tambahan (perusahaan kecil dan sederhana) serta Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) — keseluruhannya bernilai RM295 bilion – bertujuan melindungi nyawa, menyokong perniagaan, menyelamatkan dan menjana pekerjaan serta merangsangkan ekonomi.

“Jumlah nilai RM295 bilion untuk keseluruhan pakej rangsangan ekonomi PRIHATIN dan PENJANA dijangka menyumbang lebih 3.0 peratus kepada pertumbuhan KDNK Malaysia pada 2020,” katanya.

Beliau berkata sebilangan besar langkah yang diperkenalkan menerusi pakej PRIHATIN dan PENJANA adalah bersifat ‘one-off’ atau sementara, dan tidak akan mempunyai impak kepada kedudukan kewangan kerajaan bagi jangka sederhana.

Tambahan pula, Malaysia mempunyai kecairan yang mencukupi di pasaran domestik bagi pembiayaan tambahan kerajaan, katanya.

“Kerajaan juga akan memfokus kepada disiplin fiskal untuk mempertahankan keutuhan sistem dan integriti ekonominya, dan juga memastikan Malaysia mampu untuk bangkit segera apabila keadaan ekonomi beransur pulih.